05 April 2010

UMNO DEDAHKAN NEGARA KEPADA ANCAMAN

20 RABI'UL AKHIR 1431

Hashim Abdullah > Info berita daripada harakahdaily.net

KUALA KRAU, 4 April: Naib Presiden PAS, Datuk Haji Mahfuz Omar berkata corak pemerintahan yang diamalkan pemimpin Umno BN telah meresahkan rakyat kerana meletakkan negara ini terdedah kepada ancaman keselamatan daripada pihak luar.

Berucap pada ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, di Jengka 21, dekat sini, semalam Mahfuz berkata kejadian yang berlaku akhir-akhir ini termasuk kehilangan injin jet dan hubungan kerajaan dengan APCO Worldwide menunjukkan pemimpim Umno tidak peka dengan isu keselamatan yang menjadi kebimbangan rakyat.

“Kita melihat tindakan pemimpin pemerintah Umno telah meresahkan rakyat kerana isu keselamatan negara yang terdedah kepada ancaman luar.

“Kerajaan gagal memberikan jawapan terhadap hubungannya dengan APCO sebuah syarikat dikuasai Yahudi zionis Israel yang menyalurkan perkhidmatan yang membabitkan maklumat strategi.

“Dulu injin jet pejuang kita hilang, kini maklumat strategi kita juga boleh terdedah kepada ancaman luar. Ini isu besar yang membabitkan isu keselamatan negara.. Kita bimbang keadaan ini memperlihatkan institusi keselamatan dan pertahanan negara yang sepatutnya kebal telah tidak kebal dan boleh dibolosi,” katanya.

Tambah Mahfuz pemimpin Umno tidak peka dengan dasar luar negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatic dengan Israel tetapi menjalinkan hubungan dengan ejen yahudi yang secara jelas ada hubungkait dengan kerajaan zionis Israel yang telah membunuh secara zalim umat Islam Palestine.

“Tindakan pemimpin Umno yang menjalinkan hubungan dengan Acpo tidak sepatutnya berlaku kerana dasar luar Negara yang tidak ada hubungan diplomatic dengan negara Israel,” katanya.

" MASA UNTUK BERUBAH "