16 SYAWAL 1430
Taman Bukit Subang: Sekretariat Pusat Khidmat Rakyat telah menerima panggilan dan aduan berkenaan sampah di tapak pasar malam (yang tidak dibersihkan) seawal pagi tadi, yang mana ianya sepatutnya tidak terjadi.
Kutipan sampah pasar malam - siapa yang bertanggungjawab ? Pihak sekretariat telah menghubungi pihak berkaitan yang menguruskan pasar malam iaitu Persatuan Peniaga dan Penjaja Taman Bukit Subang, Saudara Ahmad Farzeli b. Mohd Atar yang merupakan setiausaha persatuan.
Beliau juga terkejut dengan apa yang berlaku setelah hampir 10 bulan menguruskan pasar malam dan berterima kasih kepada anggota masyarakat yang begitu prihatin insiden tersebut.
Menurut beliau lagi maklumat yang diterima (pagi tadi) daripada MBSA, mulai 01-10-2009 kontraktor kutipan sampah pasar malam adalah kontraktor baru jadi mungkin ada sedikit masalah komunikasi dan teknikal di antara Alam Flora (yang melantik kontraktor baru) dengan MBSA.
Apapun, ujar beliau lagi, pihak persatuan juga bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dan berjanji ianya tidak akan berulang. Beliau juga telah meminta AJK Unit Pengurusan Mingguan untuk membersihkan sampah tersebut pada hari ini juga dan tinjauan sekretariat pusat khidmat rakyat pada pukul 3.00 petang tadi mendapati kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan. (gambar di bawah)
Sekretariat pusat khidmat rakyat juga dimaklumkan Persatuan Peniaga dan Penjaja Taman Bukit Subang akan mengadakan pertemuan dengan MBSA (Cawangan Sg. Buloh) dalam masa terdekat dan juga akan membuat kenyataan akhbar agar masyarakat mengetahui perkara yang sebenarnya.
Maklumat akhir yang diterima, kontraktor baru yang menguruskan kutipan sampah telah datang pada pukul 6.15 petang tadi untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan susulan.
Sumber berita daripada: Sekretariat Pusat Khidmat Rakyat Taman Bukit Subang